Semua mata kini tertumpu terhadap keputusan lima panel hakim Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini berhubung permohonan semakan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetepikan sabitan dan hukuman kes liwat 2.
Ia adalah satu tahun lapan bulan sejak Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar, 68.
Jarang sekali berlaku apabila Mahkamah Persekutuan akan menentukan sama ada Hakim Arifin, yang menulis keputusan sebulat suara, telah terkhilaf dalam membuat keputusan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman itu.
Jika panel baru hari ini memutuskan bahawa panel hakim terdahulu tersasar, ia boleh memerintahkan Anwar dibebaskan dan dengan itu membenarkan Ketua Umum PKR itu bertanding pada pilihan raya umum ke-14, yang dijangka diadakan pada tahun depan.
Atau ia juga boleh mengekalkan hukuman penjara lima tahun sedia ada kerana pihak pendakwaan tidak memfailkan semakan semula hukuman itu.
Anwar menegaskan bahawa pertuduhan liwat adalah satu konspirasi politik terhadapnya dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan beliau pada 9 Januari 2012.
Bagaimanapun, tiga hakim Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan mensabitkan beliau bersalah pada 7 Mac 2013, sebelum Anwar bertanding kerusi DUN Kajang untuk membolehkannya menjadi menteri besar Selangor.
Mahkamah Rayuan memutuskan dengan serta merta selepas hujahan daripada peguam pada malam penamaan calon Anwar di kerusi berkenaan.
Anwar berkata penghakiman tergesa-gesa oleh Mahkamah Rayuan adalah untuk menghalangnya daripada bertanding pilihan raya kecil itu.
Keputusan kontroversi Mahkamah Rayuan dikekalkan oleh Hakim Arifin pada 10 Februari 2015.
Malam tadi, keluarga Anwar mengadakan solat hajat di rumah keluarganya di Bukit Segambut. Turut hadir isteri beliau yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Kawalan keselamatan di mahkamah diperketat dengan bilangan kerusi terhad di mahkamah disediakan, manakala di luar, penyokong Anwar dijangka berkumpul untuk memberi sokongan kepada bekas ketua pembangkang itu.
*** Malaysiakini membawa prosiding hari ini secara langsung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan