Calonnya, Mohd Azam Abd Samat mendapat 12,069 undi dengan majoriti 1,084 undi, berkurangan 690 undi berbanding 2,774 undi diperoleh Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak pada PRU-13. Calon Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim pula mendapat 10,985 undi.
Pada PRU-13, Azizan menewaskan tiga pencabar termasuk sepupunya, Ir Mohd Fazillah Mohd Ali daripada BN. Dua lagi calon, Abdullah Hassim dan Sobri Ahmad, masing-masing bertanding atas tiket Bebas.
Seramai 23,249 pengundi atau 85.5 peratus daripada 27,222 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab mereka di 17 pusat mengundi. PRK DUN Sungai Limau diadakan susulan kematian Azizan akibat jangkitan diabetes dan komplikasi jantung pada 26 September lalu.
Walaupun dianggap kubu kuat PAS, keputusan pada PRK ini dianggap kritikal untuk memastikan kelangsungan populariti parti berkenaan di kerusi terbabit, terutama dengan penerimaan masyarakat setempat terhadap BN yang semakin meningkat.
Mohd Azam adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda (Syariah Islamiah) Universiti Al-Azhar, Mesir dan sebelum ini berkhidmat sebagai Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Agama (SMA) An-Nahdzah, Bukit Besar. Beliau juga Ketua Pemuda PAS Jerai, EXCO Pemuda PAS Kedah dan Pengarah Jabatan PASTI Kedah.
SUMBER berita harian online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan