Nuffnang

Rabu, 30 Mac 2016

Kongres Rakyat di Selangor


Selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai gerakan Deklarasi Rakyat bersama-sama pemimpin pembangkang termasuk pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, perhatian hari ini tertumpu pada Kongres Rakyat di Selangor.
Kongres Rakyat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam itu merupakan cetusan ilham dan diselaraskan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
Mahathir sendiri dijadual mengambil bahagian dalam majlis tertutup itu dan menjadi orang terakhir menyampaikan ucapan.
Antara pemimpin yang hadir adalah timbalan presiden Umno yang digantung jawatannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah yang disingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

LANGSUNG
6.30 ptg : Pada akhir ucapannya, Dr Mahathir berkata beliau sanggup memandu sebuah lori untuk membawa Deklarasi Rakyat ke istana.
Katanya beliau mahu menunjukkan sentimen rakyat terhadap Najib kepada majlis raja-raja.
Sepanjang ucapannya, Mahathir mengambil peluang menghentam Najib, Rosmah dan penyokong mereka.
Himpunan Selamatkan Malaysia berakhir pada jam 6.30 petang dengan sidang akhbar oleh Mahathir dan pemimpin lain.
6.00 ptg : Mahathir mengambil tempat sebagai penceramah terakhir dengan laungan "Reformasi!" - Perkataan yang sama dilaungkan oleh aktivis anti-Mahathir semasa protes reformasi 1998.
Mahathir mengimbas kembali dengan mengatakan beliau melompat kegembiraan apabila Tun Abdullah Badawi melantik Najib sebagai penggantinya.
Beliau menyangka, Najib yang merupakan anak Tun Abdul Razak akan menjadi seperti bapanya malangnya begitu berbeza dengan Tun Razak.
Mahathir berkata beliau juga keluar Umno buat pertama kali agar Najib dilantik sebagai perdana menteri kerana terhutang budi dengan Tun Razak yang sama melantik beliau ke jawatan itu.
Selepas Najib dilantik, Mahathir berkata, beliau mula sedar bahawa tindakan Najib tidak patut bagi seorang perdana menteri. Najib, dakwanya menggunakan wang untuk mendapatkan populariti, dan mengganggap pemberian itu sebagai rasuah.
Katanya, Najib membeli sokongan rakyat dengan memberikan wang yang juga adalah wang rakyat.
Mahathir juga mengulangi dakwaannya bahawa Najib menjadikan wang sebagai segala-galanya atau cash is king.

Beliau juga mengutuk orang di sekeliling Najib dengan menggunakan istilah popular iaitu 'pemakan dedak'.
5.30 ptg : Pemimpin nombor dua Umno yang digantung dari jawatannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan ucapannya dengan berkata beliau tidak pernah bermimpi satu hari akan duduk di sebelah Lim Kit Siang.
Muhyiddin berkata sudah tiba masanya untuk politik matang di Malaysia dan tidak lagi terikat dengan idealogi atau sejarah. Menurutnya, mereka kini telah mencapai keadaan yang memerlukan mereka bersatu untuk menyelamatkan Malaysia.
Muhyiddin berkata, walaupun beliau tidak memakai baju yang sama seperti Mukhriz, kedua-duanya tergolong dalam kumpulan yang sama iaitu orang-orang yang dijauhi dalam Umno.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga menyesal menuntut peletakan jawatan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas prestasi buruk BN dalam pilihan raya umum 2008.
Namun pada masa itu katanya, tiada desakan untuk beliau dipecat daripada parti kerana hanya mahu perdana menteri meletakkan jawatan, sementara penggantinya diputuskan oleh Umno dan BN.
5.20 ptg : Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata pembangkang dan pemimpin masyarakat sivil yang menandatangani Deklarasi Rakyat menghadapi banyak kesusahan di bawah sistem menekan termasuk semasa di zaman Perdana Menteri Tun Mahathir.
Katanya, mereka menjadi mangsa dan sebelum Anwar ditahan pada 1998 beliau orang pertama ditangkap di bawah pentadbiran Mahathir yang semasa itu menjadi Menteri Dalam Negeri.
Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor itu berkata ia kini tinggal sejarah dan seseorang itu harus menjadi lebih baik daripada waktu sebelumnya. Seseorang katanya, tidak boleh mengeluh terhadap kenangan pahit dan harus mengambil langkah positif demi masa depan.
4.45 ptg : Mukhriz Mahathir berkata selepas tandatangan deklarasi itu dikumpulkan, mereka akan menyerahkannya kepada majlis raja-raja.
Secara berseloroh beliau berkata bapanya mahu tandatangan itu dikumpulkan dan diletakkan di atas sebuah lori yang dipandu bapanya sendiri. Bagaimanapun katanya beliau tidak pasti sama ada lesen bapanya yang berusia 90 tahun itu masih sah.
4.30 ptg : Mukhriz berkata, beliau berdiri di atas pentas masih memakai seragam berwarna merah Umno.
Seorang dari kalangan hadirin menjerit, "Buka!".
Bagaimanapun Mukhriz menjelaskan bahawa darah dagingnya adalah Umno dan tidak begitu mudah baginya untuk berubah.
Katanya beliau juga tahu ramai ahli Umno berada dalam dwan itu tetapi mereka tidak memakai pakaian seragam.
Beliau juga mengulangi pendiriannya bahawa pergerakan 'Selamatkan Malaysia' adalah untuk menggantikan Najib dengan satu lagi Perdana Menteri Umno.
4.20 ptg : Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau hanya akan menumpukan perhatiannya kepada Najib dan isterinya Rosmah Mansor.
Katanya beliau tidak akan mengganggu kedua-duanya sekiranya mereka 'tidak mengambil wang rakyat'.
Rafizi mengulangi janjinya untuk mendedahkan dokumen Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang dikaitkan dengan Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di perhimpunan Pakatan Harapan di Ampang Jaya esok.
4.10 ptg : Penceramah seterusnya adalah presiden Hakam Ambiga Sreenevasan. Ketika berada di atas pentas, seseorang berteriak "Buat Bersih 5!"
Ambiga kemudian menjawab, "Cukuplah cukup!" terhadap pentadbiran Najib.
Pada masa yang sama, beliau juga menggesa perbincangan mengenai mantan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dilakukan.
Ambiga juga secara sinis berterima kasih kepada Najib kerana menyatupadukan rakyat dari sisi yang berbeza-beza.
4:00 ptg : Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menekankan agenda Selamatkan Malaysia bukan salah satu yang usaha untuk menghancurkan orang Melayu.
Salahuddin juga mengingatkan orang Melayu bahawa hak-hak mereka juga dilindungi di bawah perlembagaan persekutuan.
Katanya, negara ini memerlukan orang Melayu, Cina dan India serta pemimpin yang baik. Katanya contoh pemimpin Melayu yang baik adalah Tun Abdul Razak Hussein dan bekas menteri Tun Tan Siew Sin.
3.50 ptg : Bekas Setiausaha Agung MIC S Murugesan berkata sudah tiba masanya untuk beliau mengambil pendirian.
Beliau turut bertanya kepada rakan-rakannya di dalam BN berapa lama lagi mereka akan berdiam diri.
Murugesan juga mengatakan kesetiaan kepada pemimpin hanya patut diberikan selagi pemimpin berkenaan setia kepada prinsip-prinsip ketika negara ini diasaskan.
3.40 ptg : ADUN Salor Datuk Husam Musa berkata semua rakyat Malaysia harus mempunyai hak yang sama untuk menolak kerajaan yang korup.
"Alhamdulillah kita hanya ada 1MDB. Bukan 2MDB atau 3MDB," katanya sambil menambah keadaan akan sebaliknya menjadi lebih buruk sekiranya keadaan itu berlaku.
Husam berkata seruan untuk peletakan jawatan Najib tidak boleh bertukar menjadi isu perkauman atau agama.
Katanya, ia bukan lagi merupakan satu pilihan, tetapi satu kewajipan dan tidak seharusnya menjadi masalah besar kepada semua orang.
3.20 ptg : Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah menyeru rakyat bukan sahaja menukar pemerintah, tetapi juga mengubah sistem undang-undang.
Maria berkata beliau bercakap dalam kapasiti individu, tetapi seruan untuk pembaharuan institusi telah diperjuangkan oleh kumpulan masyarakat sivil selama ini.
3.10 ptg : MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang merupakan penceramah ke lapan berkata kebanyakan pemimpin yang menghadiri majlis itu hari ini mempunyai sejarah perlawanan antara sama lain.
Katanya, beliau dan Mahathir merupakan rakan kepada bapanya dan tinggal di kampung yang sama, manakala Mukhriz juga merupakan rakannya.
Tetapi kata Mahfuz, sekiranya beliau mempunyai dendam politik terhadap Mahathir, beliau tidak akan berada di dewan itu hari ini.
Mahfuz berkata, beliau mempunyai sebab untuk membalas dendam kerana Mahathir adalah orang yang telah menandatangani surat ketika beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Namun menurutnya, apa yang perlu dilakukan hari ini adalah demi masa depan dan generasi akan datang.
2.50 ptg : Dengan gaya yang berapi-api, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid menghangatkan dewan apabila mengambil pentas dengan berucap mengenai isu pekerja.
Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) Malaysia itu menyatakan telah menerima beribu-ribu aduan daripada pekerja yang dipecat secara tidak adil daripada pekerjaan mereka.
Tidak seperti semasa pentadbiran lalu, Abdullah Sani berkata harga barangan dan perkhidmatan tidak meningkat secara drastik ketika Mahathir masih berkuasa.
Para hadirian menyambut ucapan Abdullah Sani dengan sorakan dan tepukan.
2.40 ptg : Pemimpin Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Kamarul Azman Habibur Rahman memberitahu hadirin bahawa beliau 'angkat topi' dengan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.
Katanya, mereka adalah generasi muda dalam Umno dan orang Melayu tidak perlu takut kepada Lim Kit Siang kerana mereka kini sudah mampu berfikir. Sebaliknya katanya Najib Razak lah yang perlu ditakuti.
Pada masa yang sama, beliau memberitahu pemimpin Pakatan Harapan bahawa mereka tidak berpolitik berdasarkan parti tetapi apa yang terbaik demi negara ini.
Kamarul juga berkata beliau telah menerima surat daripada Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, yang menyatakan beliau dipecat daripada parti.
Kamarul bagaimanapun berkata beliau mengabaikan surat itu kerana mendakwa Tengku Adnan tidak mempunyai integriti untuk memecatnya.
2.20 ptg : Syed Saddique berkata beliau dahulunya merupakan peminat tegar Najib Razak dengan menyangka perdana menteri itu melakukan pembaharuan tulen untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej (AUKU) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Namun katanya, selepas isu 1MDB, semuanya berubah.
2.10 ptg : Syed Saddique selaku moderator berkata, setiap pemimpin akan diberi 11 minit untuk menyampaikan ucapan mereka. Beliau memberi amaran bahawa loceng amaran pertama akan dibunyikan pada 10 minit, dan loceng kedua pada 11 minit.
Zaid naik ke pentas sebagai penceramah kedua. Beliau menggesa orang ramai untuk turun ke kampung-kampung dan bercakap dengan orang-orang yang mungkin tidak faham bagaimana rasuah menyumbang kepada kemiskinan mereka.
2.00 ptg: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berada di tengah pentas bersama dengan Muhyiddin, Zaid dan pemimpin-pemimpin lain yang menyokong gerakan Selamatkan Malaysia. Perhimpunan secara rasmi bermula dan Mahathir akan menyampaikan ucapan akhir. Dewan penuh dengan orang ramai dan terdapat mereka yang masih berada di luar.
1.45 tgh : Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali tiba. Beliau disambut dengan laungan "Selamatkan Malaysia!" dan "Bebas Anwar!". Dokumen Deklarasi Rakyat sebelum ini dikritik sebahagian penyokong Anwar kerana tidak jelas termasuk permintaan untuk membebaskan beliau dari penjara.
1.30 tgh : Tidak lama selepas itu, timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba dengan laungan "Reformasi" "Lawan Tetap Lawan!" dan "Takbir". Muhyiddin dijadual berucap petang ini.
1:10 tgh : Dewan pada masa ini hanya dipenuhi sekitar 100 orang. Daripada jumlah itu hampir separuh adalah pengamal media, ramai yang sudah duduk dan ada yang sedang sibuk menyediakan peralatan video.
Zaid sudah berada dalam dewan bersama bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.
Di luar dewan, perwakilan masih berkeliaran dan berbual antara satu sama lain. Selain anggota sekretariat Kongres, aktivis Hishamuddin Rais juga dilihat bercakap kepada perwakilan lain.
Pemimpin tertinggi lain belum tiba dan tiada kehadiran polis berpakaian seragam dilihat dan tidak ada kenderaan polis di mana-mana tempat berhampiran.
12 tgh: Dua jam sebelum himpunan 'Selamatkan Malaysia', tetamu jemputan dan pemimpin mula tiba di Pusat Konvensyen Shah Alam Selangor.
Sekumpulan hampir 100 tetamu sedang menunggu untuk masuk ke dewan dengan kira-kira 1,200 kerusi disediakan.
Antara yang kelihatan adalah Setiausaha Agung Parti Amanah Negara Anuar Tahir, anggota Gabungan Ketua Cawangan Malaysia dan pendebat Asia Syed Saddique Syed Abdul Rahman.

Sumber : Malaysia Kini

Teks Penuh Deklarasi Rakyat -Tun Mahathir

Berikut adalah teks penuh Deklarasi Rakyat yang dibaca oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di majlis deklarasi anti-Najib hari ini:  





1. Kami, warga Malaysia seperti nama-nama berikut ingin menyatakan kebimbangan kami terhadap keadaan politik, ekonomi dan sosial datam negara.

2. Kami ingin menarik perhatian rakyat Malaysia terhadap kerosakan yang telah dilakukan kepada negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak.

3. Di bawah pentadbirannya negara jatuh tersenarai sebagai salah satu daripada 10 negara yang paling banyak mengamalkan rasuah mengikut laporan Ernst and Young Asia Pacific Fraud Survey Report Series 2013. Malaysia juga telah jatuh empat anak tangga Indeks Persepsi Rasuah 2015, dari 50 ke 54.

4. Ini adalah kerana dianya percaya yang wang tunai boleh mempastikan kedudukannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dia percaya bahawa duit adalah segala-galanya-"Cash is King".

5. Peruntukan kepada semua Kementerian dan institusi awam termasuk universiti telah dikurangkan kerana ketandusan kewangan. Walaupun telah diperuntukkan, tidak ada sumber kewangan.

6. Pada tahun 2009, beliau telah menubuhkan satu Dana Kekayaan Negara (Sovereign Wealth Fund) bertujuan untuk menjana pendapatan bagi Kerajaan.

7. Dia menubuhkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kemudiannya dibebani hutang sebanyak RM42 bilion yang tidak dapat ditanggung. Tanya tidak lagi menjadi Dana Kekayaan. Sebaliknya Dana Hutang Negara.

8. 1MDB telah meminjam RM20 bilion untuk membeli tiga janakuasa elektrik pada harga yang RM12.1 bilion, melebihi harga pasaran. Walaupun diberi kontrak untuk membina janakuasa baru selain lanjutan bagi konsesi yang hampir tarnat, syarikat-syarikat janakuasa 1MDB ini telah dijual pada harga RM9.83 bilion dengan kerugian berjumlah RM2.27 bilion.

9. 1MDB juga telah melabur atau meminjamkan sebanyak US$1.83 bilion kepada Petrosaudi International (PSI) Limited diantara 2009 dan 2011 di datam projek-projek dan aset yang tidak wujud. Bank Negara Malaysia telah meminta supaya 1 MDB membawa pulang semula wang tersebut ke Malaysia kerana kebenaran yang diberi untuk pelaburan berdasarkan kepada maklumat yang tidak tepat. Daripada jumlah ini, sebanyak US$1.45 bilion telah secara langsung atau tidak langsung disalurkan kepada syarikat Good Star Limited dan lain-lain syarikat dibawah penguasaan Low Taek Jho.

10. Untuk menutup kehilangan wang tersebut, 1MDB telah melupuskan pelaburan dan Pinjaman ke PSI untuk us$2.318 bilion, dengan mendakwa yang ianya telah membuat keuntungan sebanyak us$488 juta. Bagaimanapun, tidak ada sesen pun daripada jumlah ini yang dipulangkan ke Malaysia. sebaliknya 1 MDB mendakwa yang wang tersebut telah dilabur di datam dana di Kepulauan caymans, yang kemudiannya telah di bongkar sebagai sebuah firma pengurusan pelaburan tidak berlesen. KpMG telah disingkir sebagai juruaudit 1MDB kerana enggan mengesahkan nilai pelaburan dana Caymans yang penuh misteri.

11. 1MDB mendakwa juga yang pelaburan di Kepulauan Caymans ini telah pun ditebus sepenuhnya. Sebanyak US$1.22 bilion telah dilaporkan ditebus pada 5hb November 2014, tetapi telah digunakan pada hari yang sama untuk membayar ganti rugi kepada Aabar Investments PJS. Ini merupakan gantirugi kerana menamatkan opsyen yang diberi kepada Aabar untuk membeli 49 peratus saham di datam syarikat-syarikat janakuasa 1 MDB. Ini merupakan satu penipuan kerana, syarikat induk Aabar, International Petroleum Investment Corporation(IPIC), tidak pun menyebut tentang penerimaan pembayaran tersebut di datam akaunnya yang diaudit dan tersiar di London Stock Exchange. Sebaliknya akaun IPIC menyebut bahawa 1MDB terhutang sejumlah US$481 juta kepadanya kerana penamatan opsyen tersebut.

12. 1MDB juga telah mengambil hutang berjumlah US$975 juta daripada konsortium Deutsche-Bank pada bulan September 2014, untuk tujuan yang sama iaitu membayar ganti rugi kepada Aabar. Akhbar the Wall Street Journal membongkar bahawa wang tersebut telah digunakan untuk membayar pihak lain di British Virgin Islands yang mempunyai nama yang lebih kurang sama iaitu,"Aabar Investment PJS Limited", yang dimiliki oleh pihak yang tidak ada kena mengena dengan IPIC. Penipuan licik ini telah berjaya memperdayakan juruaudit 1MDB, Deloitte Malaysia yang mempercayai bahawa bayaran telahpun diterima Aabar kepunyaan IPIC.

13. 1MDB mengumumkan bahawa ia telah membuat tebusan kedua dan terakhir berjumlah RM1.1 bilion daripada pelaburan di kepulauan Cayman pada bulan Januari 2015. Pada mulanya Perdana Menteri memaklumkan kepada Parlimen bahawa jumlah tersebut telah dimasukkan ke datam Bank BSI di Singapura. Dua bulan kemudian, pada bulan Mei 2015, dia memberitahu Parlimen bahawa, ianya bukanlah di datam bentuk wang tunai, tetapi aset. Kemudian, dijelaskan pula yang aset-aset ini merupakan"unit"yang bermakna bahawa tanya tidakpun ditebus. Ini membuktikan yang 1MDB dan Perdana Menteri telah berulang-kali menipu rakyat Malaysia. Ianya juga bermakna bahawa wang yang dilaburkan di datam Petrosaudi yang kemudiannya dilabur semula di Kepulauan Caymans, masih lagi hilang dan tidak dapat diperakukan.

14. Seorang bekas naib ketua bahagian UMNO Batu Kawan telah membuat laporan polis berkenaan kehilangan sejumlah wang yang besar oleh 1MDB. Tiada sebarang siasatan dilakukan polis. Sebaliknya pengadu telah disoal-siasat polis, ditahan dan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan(Langkah-Langkah Khas)2012(SOSMA)kerana mensabotaj ekonomi negara. Peguam beliau juga ditahan dan didakwa dibawah Akta yang sama. Ini menakutkan sesiapa sahaja yang ingin melapor pada Polis berkenaan dengan 1 MDB.

15. Akhbar Wall Street Journal melaporkan yang Najib mempunyai US$681 juta Dolar di datam akaun peribadinya di Ambank.

16. Najib pada mulanya menafikannya, tetapi kemudian mengakui bahawa dianya mempunyai sejumlah wang yang banyak di datam akaun peribadinya, Dia mendakwa menerima derma dari seorang Arab, kemudian ianya menjadi derma untuknya memenangi Pilihanraya Umum ke-13 kemudian pula menyatakan ianya adalah kerana dedikasi beliau menentang keganasan. Dia kemudiannya mendakwa menerima duit berkenaan daripada seorang Putera Raja Arab Saudi, dan kemudian daripada Raja Arab Saudi yang telah mangkat.

17. Kemudian seorang Menteri Arab Saudi menyatakan bahawa tidak terdapat apa-apa rekod berkenaan sebarang hadiah daripada Arab Saudi. Beliau mencadangkan bahawa wang tersebut mungkin merupakan peaburan. Tetapi jumlahnya kecil.

18. Najib menyatakan hasrat untuk menyaman Wall Street Journal di mahkamah tetapi dia tidak berbuat apa-apa. Sebaliknya dia meminta peguamnya bertanya kepada Wall Street Journal kenapa akhbar itu menyiarkan laporan tersebut.

19. Hingga ke hari ini WSJ berterusan mengeluarkan laporan demi laporan dengan fakta terperinci berkenaan dengan duit sejumlah US$681 juta yang terdapat di datam akaun peribadinya. Dianya masih tidak mengambil tindakan saman terhadap WSJ, sesuatu yang boleh dilakukan di negara di mana WSJ diterbitkan.

20. Khuatir dan syak dengan jumlah wang banyak dalam akaun peribadi Najib, satu pasukan petugas ditubuhkan di Malaysia untuk menyiasat sumber wang tersebut. Empat institusi Kerajaan terlibat, Polis Di Raja Malaysia, Peguam Negara, Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

21. Belumpun pasukan petugas berjaya selesaikan penugasan mereka, Peguam Negara disingkir oleh Najib atas alasan beliau sakit dan tidak mampu meneruskan tugasannya. Secara terang Najib telah memberi gambaran yang tidak benar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Tuanku bagi menggantikan Peguam Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dilumpuhkan apabila pengerusi serta beberapa ahlinya dipindahkan oleh Najib bagi menghalang penyiasatan keatas 1 MDB. Pengerusi baru, kenalan Najib dilantik dan beliau secara spontan menyatakan yang Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan.

22. Najib kemudian melantik Peguam Negara baru. Peguam Negara baru menolak cadangan Bank Negara untuk tindakan diambil sambil mendakwa yang tidak ada apa-apa di dalam laporan tersebut yang menunjukkan bahawa Najib melakukan kesalahan.

23. Rayuan Bank Negara tidak diendahkan.

24. peguam Negara yang baru juga menolak lagi satu laporan daripada SPRM. Kandungan laporan tidak didedahkan dan ancaman dibuat terhadap pendedahan laporan tersebut.

25. peguam Negara baru juga tanpa penjelasan yang munasabah menolak cadangan dari dua institusi yang mempunyai kuasa dan kepakaran datam bidang mereka.

26. penolakan ini juga menghalang perkara tersebut dibawa ke mahkamah di mana semua bukti dapat diketengahkan dan dibicarakan. Dengan ini Peguam Negara memain peranan sebagai pendakwa dan juga hakim. Proses undang-undang terhalang.

27. Timbalan Perdana Menteri yang disingkir kemudian mendedahkan yang peguam Negara yang lama telah menunjuk bukti kesalahan yang dilakukan Najib bersangkutan skandal- skandal tersebut. Di masa yang sama, beberapa agensi Kerajaan asing, iaitu Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Britain, telah memulakan siasatan ke atas 1MDB.

28. Akhbar di Malaysia ditapis menyebabkan rakyat lebih bergantung kepada laporan media asing. Tetapi apabila rakyat berbincang atau menulis berdasarkan laporan media asing, Kerajaan menerusi Ketua Polis Negara menjemput sesiapa sahaja untuk membuat laporan polis agar polis dapat menjalankan soal siasat terhadap orang itu.

29. Ini bercanggah dengan kegagalan polis menyiasat laporan polis yang dibuat terhadap Najib, Jho Low dan laporan Bank Negara dan SPRM kepada Peguam Negara. Peguam Negara juga mengugut untuk jatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan terhadap sesiapa yang bertindak membocor maklumat Kerajaan. Ini bermakna yang kesalahan jenayah di datam pentadbiran Kerajaanpun akan dilindung daripada pengetahuan awam.

30. Peguam Negara mengumumkan bahawa sebahagian daripada sejumlah RM2.6 bilion (sebanyak RM2.3 bilion)telah dipulangkan kepada Arab Saudi. Selain daripada kenyataan ini tiada bukti lain yang dikemukakan.

31. Rakyat juga semakin menderita.

32. GST yang dikenakan Najib, kenaikan kadar tol lebuhraya, kesemuanya mengakibatkan kenaikan kos sara hidup, memaksa perniagaan ditutup, menyebabkan industri kepunyaan asing menghentikan operasi dan berpindah kepada negara lain. Ini mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran.

33. Walaupun rakyat membantah, Najib tetap menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik(TPP)Amerika yang mengikis hak kita untuk membuat dasar dan undang-undang yang sesuai bagi negara kita.

34. Hari ini imej Malaysia amat buruk sekali. Selain diklasifikasikan antara 10 negara terburuk mengamalkan rasuah, Malaysia juga dianggap tidak demokratik. Hak kebebasan bersuara juga kebebasan akhbar terhalang, dan rakyat hidup datam ketakutan ditangkap dan ditahan. Akta Majlis Keselamatan Negara digubal untuk memberikan Perdana Menteri dan bukan Yang di-Pertuan Agong kuasa mengisytiharkan sesuatu kawasan itu sebagai kawasan keselamatan dimana sesiapa sahaja boleh ditangkap dan ditahan tanpa bicara dan didakwa dibawah prosidur yang melanggar batas keadilan yang diterima.

35. Sebaliknya pula jika berlaku kesilapan datam penggunaan Akta ini oleh pegawai Kerajaan, atau di mana terdapat salahguna kuasa, rakyat tidak boleh mengambil apa bentuk tidakan terhadap mereka. Whistleblowers, atau pemberi maklumat, diganggu dan dihukum, dan bukannya diberi perlindungan. Undang-undang lain digunakan yang menyekat kebebasan bersuara menegur salahlaku. Hak asasi yang termaktub di datam Perlembagaan persekutuan tidak lagi membawa apa-apa makna.

36.0leh kerana sebab-sebab ini, kami rakyat Malaysia seperti yang tertera bersetuju dan menyokong  

a) penyingkiran Dato' Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan. 
b) Penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya 
c) Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang Jetas metanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih, dan 
d) Pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti polis, SPRM, Bank Negara dan PAC

37. Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, ugama, politik, kepercayaan atau parti, tua atau muda, marilah bersama-sama kami selamatkan Malaysia daripada Kerajaan yang dipimpin Dato Seri Najib untuk membuka jalan kepada mereformasikan institusi demi proses demokrasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa diantara eksekutif, legislatif dan kehakiman yang akan memastikan kebebasan, kredibiliti, profesionalisme serta integrity institusi-institusi nasional.