Nuffnang

Selasa, 25 Mac 2014

Mengapa dan bagaimana MH370 dikesan berakhir di Lautan Hindi?


Kesan Doppler membantu penyiasat menentukan penerbangan MH370 di selatan Lautan Hindi tetapi mereka masih hairan mengenai sebab-sebab pesawat Malaysia Airlines bertentangan daripada destinasi yang ditujui - Beijing.

Mengapa Boeing 777-200ER yang membawa 239 orang berakhir di Lautan Hindi? Bagaimana pesawat penumpang bersaiz lebar berpaling daripada rutin penerbangan menjadi "misteri penerbangan yang belum pernah berlaku sebelum ini"? Dan, siapa yang melakukannya?

Ini merupakan persoalan utama dalam minda penyiasat dan keluarga 239 orang penumpang dan anak kapal MH370 yang terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing pada awal pagi 8 Mac tetapi hilang selepas sejam di udara.

Selepas 16 hari misi mencari antarabangsa yang bermula di Laut China Selatan, data satelit komunikasi penyiasat British dan serpihan ditemui satelit Amerika Syarikat, China dan Perancis akhirnya kedudukan terakhir MH370 dikenal pasti iaitu di bahagian selatan Lautan Hindi.

Mengapa dan bagaimana MH370 berakhir di kawasan pedalaman perairan itu hanya akan diketahui selepas penyiasat menemui kotak hitam pesawat Malaysia yang didaftarkan sebagai 9M-MRO itu.

Sehingga ia ditemui, usaha untuk mengesan laluan pesawat MH370 itu sebelum hilang daripada radar di Kota Baru ke Lautan Hindi menjadi sesuatu yang menakjubkan dengan sendirinya.

Agensi berita antarabangsa Reuters melaporkan satelit British Inmarsat menggunakan satu fenomena gelombang ditemui pada abad ke-19 untuk menganalisis tujuh ping yang berjaya dikesan satelitnya daripada pesawat Malaysia Airlines untuk menentukan destinasi akhir.

Penemuan terakhir itu mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membuat kesimpulan pada Isnin malam bahawa pesawat berusia 11 tahun itu terhempas beribu batu daripada Malaysia di selatan Lautan Hindi dan menyebabkan semua 239 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Isyarat Ping, secara automatiknya dihantar setiap jam daripada pesawat selepas seluruh sistem komunikasi berhenti, menunjukkan ia terus terbang selama beberapa jam selepas ia hilang dari laluan penerbangan Kuala Lumpur ke Beijing.

Dari masa isyarat untuk sampai ke satelit dan sudut dongakan, Inmarsat dapat menyediakan dua lengkok, satu di utara dan satu di selatan mengenai kemungkinan arah pesawat itu terbang.

Saintis Inmarsat kemudian menyiasat isyarat ping menggunakan teknik berdasarkan kesan Doppler, yang menerangkan bagaimana gelombang perubahan kekerapan relatif kepada pergerakan pemerhati dalam kes satelit ini, kata jurucakap.

Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain turut terlibat dalam analisis ini.

Kesan Doppler adalah mengapa bunyi siren kereta polis berubah selepas mendekati atau memotong pemerhati.

"Kami kemudian mengambil data yang kami dapati dari pesawat dan diplotkan terhadap kedua-dua trek, dan ia berat ke trek selatan," kata Jonathan Sinnatt, ketua komunikasi korporat Inmarsat kepada Reuters.

Katanya, syarikat itu kemudian membandingkan teori laluan penerbangan dengan data diterima daripada Boeing 777 yang diketahui terbang laluan sama, dan ia dipadankan dengan tepat.

Beliau berkata, penemuan itu disemak dengan syarikat satelit lain sebelum diserahkan kepada penyiasat pada Isnin.

Jumlah data - hanya isyarat ping diterima oleh satelit tunggal setiap jam atau lebih - bermakna teknik seperti triangulasi menggunakan beberapa satelit atau GPS (Sistem Penentu Kedudukan Global) tidak boleh digunakan untuk menentukan laluan penerbangan pesawat.

Mengesan

Ketua Pegawai Eksekutif All Source Analysis, Stephen Wood, berkata seolah-olah para penyiasat mengecilkan kawasan pencarian. "Tetapi ia masih kawasan besar yang mereka perlu lakukan pencarian," katanya.

Katanya, insiden ini mungkin merangsang kajian semula peraturan penerbangan, terutamanya berkaitan dengan peralatan komunikasi dan keupayaan untuk mematikan transponder pesawat.

Tetapi masih terlalu awal untuk mengatakan apa-apa kerana belum diketahui apa yang menyebabkan kapal terbang untuk beralih daripada laluan asal.

"Insiden seperti ini akan menyebabkan sesiapa sahaja yang menerbangkan pesawat komersial dengan penumpang akan menuntut kaedah baru untuk mengesan kargo berharga mereka," kata Wood, seorang bekas pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS) yang mengetuai unit analisis DigitalGlobe Inc , sebuah firma imej satelit, sehingga Julai 2013 ~ The Malaysian Insider

SAH!!! PESAWAT MH370 TERHEMPAS DI LAUTAN HINDI... MASALAHNYA, KENAPA DI LAUTAN HINDI?

SAH!!! PESAWAT MH370 TERHEMPAS DI LAUTAN HINDI... MASALAHNYA, KENAPA DI LAUTAN HINDI?

Kawasan selatan Lautan Hindi dikerumuni pesawat daripada beberapa negara pagi ini untuk pesawat MH370 Malaysia yang hilang apabila pencarian diberi suntikan tenaga baru dengan lebih bukti objek terapung yang disyaki berkaitan pesawat tersebut, lapor AFP.

Tetapi cabaran mendapatkan objek terapung tersebut bertambah rumit apabila ribut tropika melepasi kawasan pencarian tersebut, mengugut untuk meyukarkan lagi keadaan yang kini menggagalkan pencarian.

Menurut AFP, China hari ini berkata salah satu pesawatnya yang sedang mencari di kawasan tersebut ternampak objek seperti serpihan pesawat, menambah kepada jumpaan pesawat Australia iaitu palet kayu dan tali pinggang dan serpihan lain.

Perancis dan China memberikan maklumat satelit minggu lepas yang menunjukkan objek terapung di pinggiran barat Australia - penemuan yang melambungkan harapan mendapat hasil setelah lebih dari dua minggu dalam pencarian.

Armada pesawat am dan tentera yang semakin berkembang kini berkumpul di kawasan tersebut, disokong oleh kapal Australia dan Britain yang ditugaskan mengumpul apa-apa objek yang dijumpai di lautan, kata agensi berita AFP.

Penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang tanpa amaran pada 8 Mac selepas keluar dari laluan asal di Laut China Selatan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 krew.

Memegang pada segala maklumat

Dalam laporan AFP, Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss mengingatkan orang ramai tentang bilangan harapan palsu sejak pencarian ini yang beberapa kali menemui jalan mati.

Katanya kepada radio negara itu, "Saya rasa kami semua hanya memegang pada apa-apa maklumat kecil yang muncul untuk mencari tempat untuk memfokuskan usaha kita."

Tentera US juga menambah kepada rasa mendekati hasil dengan mengerahkan pengesan kotak hitam ke kawasan tersebut, zon yag lebih kurang 2,500 kilometer selatan barat Perth.

Penemuan kotak hitam tersebut amat penting untuk mengetahui apakah nasib sebenar Boeing 777 itu.

Malaysia mengatakan pesawat tersebut sengaja dilencongkan oleh seseorang yang berada dalam pesawat tersebut, tetapi ketiadaan bukti kukuh mewujudkan teori liar yang menambah kepada penderitaan ahli keluarga penumpang yang masih menunggu berita tentang ahli keluarga mereka.

"Gerakan kami ini usaha untuk menyediakan peralatan dan staf terlatih lebih dekat dengan kawasan pencarian supaya jika terdapat serpihan yang dijumpai, kita akan dapat memberi tindak balas dengan secepat mungkin memandangkan bateri kotak hitam tersebut hampir kehabisan," kata armada US Ketujuh tersebut dalam laporan AFP.

Alat pengesan tersebut berupaya mengesan kotak hitam sedalam 20,000 kaki, katanya dalam satu kenyataan.

Para oseanografi berkata kedalaman lautan di mana serpihan sedang dicari ialah antara 3,000 ke 4,000 meter.

Signal 30-hari daripada kotak hitam tersebut akan mati dalam masa kurang dua minggu.

Fokus pencarian ini pada mulanya berpusat kepada perairan si Asia Tenggara, tetapi semakin dalam ke Lautan Hindi minggu lepas apabila satelit menjumpai imej objek terapung yang besar di sana.

Jabatan Keselamatan Maritim Australia (Amsa) berkata terdapat 10 pesawat yang terlibat dalam usaha mencari yang turut dibantu oleh dua pesawat tentera China yang bertolak awal pagi ini, menyertai pihak Australia, US, dan Jepun.

China sudahpun mengerahkan tujuh kapal yang menambah kepada jumlah kapal yang ada, termasuk dari Britain dan Australia.

Ribut tropika semakin dekat

Komander Udara New Zealand, Mike Yardley berkata awan rendah dan kabut berterusan membuatkan serpihan sukar dicari dalam usaha semalam.

"Kawasan pencarian itu amat besar, tetapi kita sentiasa mendapat maklumat baru, dan maklumat tersebut kerap menunjuk kepada kawasan yang kita cari, jadi krew nampaknya yakin kita berada di tempat yang betul."

Tetapi ribut tropika Gillian yang kini beberapa ratus kilometer ke utara sedang menukar arah ke zon pencarian itu.

Truss mengatakan ribut itu akan semakin lemah semakin ia ke selatan, "tetapi masih mungkin membawa cuaca buruk."

Data daripada satelit dan radar tentera menunjukkan bahawa selepas komunikasi akhirnya dengan trafik udara, pesawat tersebut patah balik ke semenanjung Malaysia dan terus terbang - mungkin untuk empat jam - ke arah yang tidak diketahui.

Tiga senario sudahpun muncul untuk menjelaskan apa yang berlaku kepada pesawat tersebut, rampasan, sabotaj juruterbang, ataupun krisis semasa penerbangan yang menyebabkan penumpang dan krew tidak sedarkan diri lalu pesawat itu terbang dengan sendirinya sehingga kehabisan minyak dan terhempas.

Dua pertiga penumpangnya warga China. Penderitaaan dan kemarahan mereka sudah beberapa kali meletus, termasuk semasa perjumpaan hujung minggu di mana polis terpaksa menahan beberapa saudara mara yang menuduh pihak berkuasa Malaysia menyembunyikan maklumat.

"Banyak kali saya rasa seperti hendak naik gila. Perasaan saya merata-rata bersepah. Saya meminta (pihak) Malaysia memberi jawapan tetapi mereka katakan tidak boleh," kata satu saudara semalam. -TMI
Nota TFK:
Jam 10:00 tadi, Perdana Menteri telah membuat satu pengumuman media berhubung insiden ini. Tekanan semakin dirasai terutama dari kalangan pembangkang Malaysia kini yang cukup seronok apabila melihat atau mendengar berita-berita luar negara, terutama daripada Amerika Syarikat dan Eropah yang memperolok-olokkan usaha mencari pesawat MH370 yang hilang tanpa dapat dikesan biarpun pada masa yang sama, Amerika Syarikat serta 25 buah negara lain telah menggunakan segala teknologi yang ada untuk mengesan pesawat tersebut.

Dalam sidang media ringkas tersebut, Perdana Menteri mengesahkan bahawa pesawat malang itu telah terhempas di Lautan Hindi. Sekarang, timbul pula persoalan, mengapa di Lautan Hindi dan mengapa pesawat tersebut melencong ke sana?

Apa motif sebenar pesawat tersebut dilencongkan dan mengapa tiada panggilan kecemasan sekiranya benar pesawat itu mengalami kebakaran?